Wednesday, May 6, 2009

KPI untuk Kementerian Pengajian Tinggi dan Naib-naib Canselor

Dari Blog Datuk Seri Khaled Nordin ( Menteri Pengajian Tinggi)

http://khalednordin.wordpress.com/


Hari ini warga Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang terdiri daripada kakitangan Kementerian, pemimpin dan pegawai institusi pengajian tinggi awam dan swasta, kakitangan serta para pegawai agensi-agensi Kementerian, telah berkesempatan berkumpul di Putrajaya untuk menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian. Ianya bukan sahaja peluang untuk semua warga Kementerian bertemu, tetapi yang paling penting ialah peluang untuk saya menyampaikan amanat dan hasrat Kerajaan, untuk sama-sama dijayakan oleh semua warga Kementerian.

Selaras dengan pelantikan Perdana Menteri Ke-6, Y.A.B Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, yang pada masa yang sama telah memperkenalkan konsep Satu Malaysia (One Malaysia), pihak Kementerian ingin menggariskan beberapa penumpuaan aspek kecemerlangan pengajian tinggi; bermatlamat untuk menjayakan konsep tersebut. Berasaskan kepada misi Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan (People First, Performance Now), KPT telah mengenal pasti 4 teras utama yang perlu diberi penumpuaan. Teras-teras iaitu 4P tersebut adalah:

1. Pelaksanaan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN);
2. Pendemokrasian Pengajian Tinggi;
3. Pengantarabangsaan; dan
4. Pembangunan Pelajar.

Keempat-empat teras tersebut yang juga merupakan Penunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicator, KPI) bagi KPT, merupakan penumpuaan khusus yang akan dilakukan oleh pihak Kementerian untuk sama-sama menjayakan konsep Satu Malaysia. Keberkesanan pelaksanaan proses ke arah menjayakan 4P ini secara langsung akan memastikan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan ilmu akan tercapai. Apa yang paling mustahak adalah graduan yang dihasilkan oleh IPT dari negara kita akan menjadi modal insan yang berkualiti dan mempunyai minda kelas pertama.

Selain daripada itu, dalam ucapan saya kepada Naib-Naib Canselor universiti awam, saya turut menggariskan beberapa asas yang perlu mereka rujuk sebagai KPI bagi mereka. Kesemua Naib Canselor IPTA perlulah;

(i) tidak hanya bersandarkan kepada pelaksanaan dan sasaran PSPTN semata-mata. Sasaran matlamat 18 agenda kritikal yang digariskan dalam pelan tersebut juga hanyalah keperluan minima bagi semua IPTA dan perlu diterjemahkan dengan pelan mereka sendiri;
(ii) memastikan usaha melahirkan graduan yang memenuhi piawaian kualiti melalui penambahbaikan kepada aspek Pengajaran dan Pembelajaran (Teaching & Learning);
(iii) memastikan IPT di bawah seliaan mereka mempunyai tadbir urus yang telus dan cekap; dan
(iv) sentiasa berusaha untuk menghasilkan produk R&D yang dihormati.

KPI kepada Naib-naib Canselor ini akan menjadi kayu pengukur sejauh mana keberkesanan kepimpinan mereka di IPT masing-masing. Matlamat seseorang Naib Canselor juga haruslah berpandukan kriteria kecemerlangan sesebuah institusi dan juga selari dengan objektif serta ‘niche area’ IPT berkenaan.


Aspek pembiayaan yang merupakan salah satu faktor penyumbang utama kepada kecermelangan sektor pengajian tinggi negara juga memerlukan satu pendekatan baru. Aspek kelestarian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merupakan antara cabaran hebat yang sedang dihadapi oleh pihak Kementerian pada hari ini. Dengan jumlah defisit sebanyak lebih RM 46 billion, satu mekanisme lestari sedang dikaji dan akan dibentangkan kepada kerajaan bagi memastikan pembiayaan kepada para pelajar dapat terus disalurkan. Sesungguhnya, kepentingan pelajar sentiasa diberi keutamaan dalam mencari formula ideal kepada penyelesaian cabaran ini.

Harapan saya semoga mesej yang telah saya sampaikan dalam majlis tersebut telah dapat dihayati oleh semua warga Kementerian. Adalah menjadi kesungguhan dan iltizam saya untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh Y.A.B Perdana Menteri demi memastikan pengajian tinggi negara terus berkembang dan sentiasa berada pada tahap kecemerlangan tertinggi.



UPSI-INSIDER KATA:

Baguslah kalau ia betul dilaksanakan. Kalau NC-NC ada KPI, bila lagi MPP kita kena KPI. Saya cadangkan supaya adanya KPI untuk MPP kita. Barulah telus..kalau boleh setiap Persatuan perlu mewujudkan KPI gak supaya MT-MT buat kerja dengan betul bukan cakap berapi-api masa pemilihan tapi kotakan apa yang dikatakan..

No comments:

Post a Comment