Sunday, July 26, 2009

Mahasiswa Dan Suara Perubahan

Mahasiswa dikatakan sebagai suara ummah ataupun juga seringkali dilabelkan sebagai agen perubahan. Ramai dikalangan kita yang sering meremehkan perjuangan mahasiswa tetapi secara peribadi saya berpandangan suara mahasiswa dan perjuangan mereka adalah satu perjuangan yang 'valid' dan memperjuangkan idealisme serta apa yang mereka percaya walaupun kadangkala agak dangkal tetapi suara yang diperjuangkan ini wajar diambil kisah sama seperti bagaimana kerajaan mengambil berat suara NGO2 mahupun suara Pemuda UMNO mahupun parti politik lain.

Baru2 ini kita lihat apa yang berlaku di Universiti Malaya (UM). Isu contengan 'bini puaka' yang ditujukan kepada wanita pertama negara cukup mengejutkan negara. Benarkah ini yang mereka percaya? Beginikah tahap ataupun kualiti mahasiswa sekarang? Saya melihat aspek penguasaan emosi melebihi daya intelek mahasiswa dan keadaan ini amat merbahaya. Sesuatu yang tidak kena dengan produk universiti masa kini!

Saya berpandangan mahasiswa kini telah dikongkong pemikiran mereka hingga mereka akhirnya tidak mampu menghasilkan hujah sendiri yang mempunyai nilai intelektual yang tinggi yang mampu memberikan impak kepada massa. Kongkongan tersebut termasuklah mereka terlalu dibebankan dengan hafalan atau pencarian fakta yang melebihi keperluan pasaran pekerjaan hingga mengurangkan masa mereka untuk membaca atau mengkaji bahan - bahan ilmiah lain di luar 'circle' mereka yang mampu bentuk daya fikir yang lebih baik.

Selain itu pihak berwajib terhadap pendidikan serta sistem pendidikan negara kita juga banyak melatih mahasiswa menjadi seolah-olah seperti terpaksa menerima saja apa yang diberi tanpa soal. Sedangkan sistem pendidikan sepatutnya melatih kita untuk membentuk satu teori atau pandangan baru yang bersifat lebih kreatif dan innovatif demi meningkatkan produktiviti negara.

Oleh itu, dalam konteks di atas, sebagai mahasiswa yang cerdik, mereka tidak boleh melakukan tindakan atau perilaku yang menduplikasi pembangkang secara membuta tuli tanpa memikirkan dulu kualiti hujah mereka atau kualiti demontrasi yang ingin dibuat. Satu fakta atau counter attack yang bernilai ilmiah amat diperlukan bagi menaikkan kualiti pandangan masyarakat terhadap mahasiswa.

Kesimpulan yang dapat dibuat ialah, satu kajian menyeluruh terhadap kaedah pembelajaran terutama di Universiti harus dilakukan segera untuk mengelakkan turunnya kualiti mahasiswa dari segi gaya fikir terhadap sesuatu perkara. Sekiranya ini tidak dilakukan, maka martabat mahasiswa akan jatuh dan menjadi rendah.

Halim Din

No comments:

Post a Comment